Sunday, June 19, 2016

Sebait Puisi Untuk Ibunda Kami Sayyidah Khadijah Ra


Marhaban wahai bunda. 
Malam ini kami datang selepas sekian lama kami terlupa.
Sejarah ini kami renung bukan sebagai tulisan sejarah di atas sebuah kertas yang dikhayalkan oleh mereka yang hanya ingin menang di dunia.
Sejarah ini direnung bagaikan biji benih yang dihidupkan di atas titian kehidupan.
Kertas ini ialah helaian sejarah yang masih hidup melalui helaan nafas dan detak jantung para pecinta. Percintaan itu bukanlah suatu cereka yang boleh dibuat-buat.

Marhaban wahai bunda.
Di balik awan yang melindungi junjungan, yang dipandang bukanlah sekadar suatu mukjizat tetapi sebuah tanda percintaan.
Di balik kejujuran yang terzahir, bukanlah sekadar kejujuran tetapi cahaya Tauhid yang memukau.
Di balik perjalanan orang-orang biasa, yang dipandang ialah rahsia nubuwwah yang belum disingkap.
Hanya mata cinta yang boleh melihat cinta yang tak dicemari kenafsuan dan keakuan palsu.
Yang dipandang bukanlah sebuah ketampanan yang menjadi sumber ketampanan Yusuf.
Yang dipandang ialah cahaya di atas cahaya yang tersembunyi di dalam relung hakikat.

Marhaban wahai bunda.
Malam ini kami datang setelah sekian lama kami terlupa.
Selimut yang disarungkan ke tubuh junjungan bukan sekadar selimut.
Selimut itu sehelai khirqah yang dipakai di dalam pertemuan cinta.
Di dalam bukat malam, mata masih lagi dapat melihat kerana ia memandang dengan pandangan cinta. Kebutaan ini ialah buat mereka yang tidak memandang wajah junjungan dengan pandangan yang menembus daging dan kulit.
Sebagai cermin, junjungan tercinta memandang dirinya melalui dirimu.
Dua titik sebenarnya satu buat mereka yang berjalan membuka mata.

Marhaban wahai bunda.
Kami merenung makna salam yang dihulurkan Jibril daripada Allah kepada junjungan untukmu. Mungkinkah di dalam salam itu Jibril melebarkan sayapnya menjemput menikmati sebuah pandangan yang meluruhkan segala hijab, menyingkap salam yang abadi.
Kesejahteraan yang berpanjangan ke atasmu wahai bunda, curahan keringatmu menjadi sungai yang membawa kepada lautan penyerahan.
Penyerahan itu mengenalkan kami kembali makna kewanitaan sejati.

Marhaban wahai bunda, marhaban.
Malam ini kami datang selepas sekian lama kami terlupa memandang dan membaca dengan mata hakikat.
Kami ialah anak yang ingin dituntun di dalam perjalanan ini, meleraikan ikatan-ikatan nafsu yang menyempitkan nafas.
Malam ini kami datang ingin kembali sebagai anak yang kembali ke kampung halaman.

Nukilan Muhammad Khairool Haque
Singapura.
Previous Post
Next Post

post written by:

0 comments: